Nuffnang Ads

Tuesday, April 5, 2011

Akulah Si Bintang Yang Menjaga Bulan

Assalamualaikum,


Semenjak kecil, arwah papa selalu cakap hanya ada satu bintang yang paling menyerlah antara jutaan bintang-bintang diruang langit namun ada ketikanya bintang istimewa itu tetaplah ianya adalah dari kaum-kaum bintang. Carilah kalau jumpa, bilangnya. Saya berfikiran dan berkata dalam hati, "ada ke?". Setelah kini barulah saya sedari, mungkin bintang yang beliau maksudkan itu adalah bintang yang berdekatan dengan bulan. 


Mengapa seorang penyajak menggemari untuk menghubungkaitkan antara bulan dan bintang? Mungkin mereka berasakan puisi, sajak mahupun garapan tulisannya jika dimasukkan perkataan bulan dan bintang ianya akan tampak lebih sastera serta romantis. Mungkin. Orang sastera bila bicara, susun atur katanya diteliti sebelum diungkapkan pada sehelai kertas kosong. Orang sastera adakalanya bermain dengan logikal dan adakalanya terlalu abstrak namun genre penulisannya meleret pada melankolik. Sekiranya mereka bicara tentang bintang mahupun bulan.

Seperti perhubungan antara manusia dan manusia, ia tak ubah seperti bulan dan bintang namun sering dibezakan dengan darjat. Kerana bulan itu lebih besar dan bintang itu lebih kecil, namun hakikatnya bintang kecil itulah telah membuktikannya rasa setia kepadanya. Seperti manusia, lelaki dan perempuan yang sedang bercinta perlu ada rasa setia pada diri mereka serta harus ada rasa percaya antara satu sama lain. Biarpun sinaran bulan telah menyinari alam ini tanpa bintang, namun kerdipan bintang itu telah membuatkan malam menjadi lebih sempurna. Umpama bulan dan bintang itu sedang menari-nari di atas awangan.

Perhubungan sesama manusia, ada ketikanya sang lelaki menjadi lebih rendah diri apabila mengetahui sang wanita itu lebih sempurna darinya. Tetapi atas dasar cinta, sang lelaki dan sang wanita itu seperti mampu untuk hidup 1000 tahun lagi. Saya adalah lelaki yang mudah berasa rendah diri, apabila saya 'dipertemukan' dengan perempuan yang melebihi saya dalam setiap perkara. Contohnya apabila dibandingkan kekayaan, saya hanya terfikir untuk lekas mengundur diri walhal hakikatnya perempuan itu tidak sesekali mempertikaikan soal itu. Saya adalah lelaki yang punyai prinsip, berfikir bagaimana untuk menyeberang sebelum saya seberang dari hujung sini ke sebelah sana. Begitulah.

Jelasnya, hidup ini ada permainan catur sedang berlangsung namun dimainkan secara perlahan-lahan kerana takut salah langkah dan terpaksa berhenti untuk selamanya. Kerana setiap tanduk tindakkan kita seharusnya direncana dengan baik supaya satu hari nanti kita tidak tergigit jari dek kerana kegopohan. Disini, saya yakin dan tidak ragu-ragu, apa yang saya rasakan pada si dia adalah rasa yang sangat dalam. Mungkin cakap-cakap hati ke hati barulah ia mampu dilafazkan dibibir ini, saya tidak memandang apa yang dianugerahkan oleh Allah SWT buatnya. Apa yang saya lihat, adalah seorang isteri yang sempurna.

Ibarat hidup ini, lebih 'hidup' dan begitulah saya rasakan. Menjurus kepada kenikmatan hidup yang telah diberi oleh Allah SWT kepada manusia seperti saya ini. Alhamdulillah. Biarlah apa yang difikirkan oleh orang-orang lain, rasa dan cinta saya ini tetaplah seperti si bintang yang setia menjaga bulan semenjak azali lagi. Semoga rasa yang saya rasakan ini abadi dan pengakhiran kalinya supaya ianya dapat terwujud dalam lubuk hatinya. InsyaAllah.

P.S. IMYSM & ILYSM

1 comment: