Nuffnang Ads

Thursday, May 31, 2012

Duduk Mati, Berdiri Mati, Serba Mati

Assalamualaikum,

Bicara tentang kehilangan saya alam maya beberapa minggu ini menimbulkan tanda tanya.. Namun demikian, kita lupakan sahaja untuk berbicara tentangnya. Saya sudah mulai bosan dengan laman sosial, entah.

Duduk mati, berdiri mati, serba mati.

Saya lelaki yang jujur tapi naif - Saya mungkin lelaki yang dungu yang boleh suarakan apa yang tersirat dihati pada orang lain, lebih jelas meluahkan isi hati pada orang yang saya mulai percaya. Tapi bukan senang - senang untuk saya luahkan kecuali apabila hati ini berkata orang itu boleh dipercayai. Sejujurnya sayalah lelaki yang cuba untuk jujur semenjak kedua ibubapa saya telah kembali ke rahmatullah. Saya cuba menjadi sebaik mungkin dan sejujur yang boleh. Saya jujur pada diri, saya jujur pada orang lain dan adakala mahu berbohong.. Ahhh dah bercanggah dengan sikap yang saya mahukan, jadi saya 'terpaksa' jujur. Jujur ini sikapnya datang dari hati, itulah yang saya terapkan sikit demi sedikit dan saya 'terikat' untuk jujur. Keadaan seperti terpaksa tapi jangan salah tafsiran pula ini adalah latihan yang saya lakukan untuk melakukan perubahan dalam hidup saya. Saya benar - benar mahu jujur. Adakala kita terpaksa berbohong untuk menyelamatkan diri sendiri, tapi saya sudah tidak mahu itu kerana saya mahu untuk terus jujur. Kerana itu saya gelarkan diri saya ini jujur tapi naif. Kerana jujurlah saya berani meluahkan apa yang terpendam di dalam lubuk sanubari. Saya sayang awak. Salahkah saya jujur? Apa dunia ini perlu ada lelaki sedikit jujur dan sedikit jahat? Bila lelaki jujur, dikatakan terlalu baik. Bila lelaki jahat, dikatakan terlalu menarik. Hakikatnya? Bila lelaki berlaku curang, dikatakan lelaki itu tidak jujur. Bila lelaki itu jujur, dikatakan lelaki itu tidak menarik dan tidak ada warna. Awak si perempuan, mana iktikad awak, mana satu yang awak mahukan dari saya si lelaki ini? Saya tidak salahkan awak si perempuan, kerana awak dan kaum perempuan awaklah sebenarnya yang mengawal lelaki sungguhpun kami si lelaki ini dijadikan khalifah di muka bumi Tuhan ini. Cuma saya mahu, bertimbang rasalah kerana lelaki dungu dan jujur macam kami ini jangan diketepikan.

Duduk mati, berdiri mati, serba mati.

Saya menangis alam yang peduli - Saya lelaki yang 'keras' pada luarannya namun lembut dijiwanya. Tatkala memandu pulang dari tempat pengajian ke rumah, sengaja disunyikan suasana walaupun jelas keriuhan bunyi kenderaan dijalan raya walaupun sudah larut malam. Begitulah rutin harian yang ditempuhi saya. Radio dan mp3 yang masih berfungsi sengaja disenyapkan, sengaja mahu mendengar suara alam secara semulajadi ataupun buatan manusia itu sendiri. Dalam kesibukan suasana, airmata ini mengalir. Entah apa yang difikirkan, tiba - tiba deraian ini mengalir dan mengalir. Sunyi agaknya, kosong agaknya jiwa ini. Hmm, patutlah. Setelah arwah mama meninggalkan saya sekeluarga, saya terasa macam.. Saya kehilangan seorang perempuan yang banyak memberi inspirasi dalam hidup saya namun tidak terganti tidak ada taranya kasih seorang perempuan ini. Saya rindu semua tentangnya, dia kekasih pertama saya. Namun jelas, saya menangis alam yang mahu peduli yang mahu tahu keluh kesah hati ini kerana kesunyian itu muncul bila deraian ini berlabuh dipipi dan seolah - olah 'suara' alam itu 'menyanyi' dalam sepi. Tidak ada siapa mahu tahu apa yang saya rasa, kesedihan yang saya rasa kerana saya cuba berdisiplin untuk kekalkan lagak gaya seperti lelaki yang sudah matang menuju arah hidupnya. Ya, saya lelaki matang tapi lembut hatinya. Ya, saya lelaki garang tapi sedang sorokkan taringnya. Ya, saya lelaki tapi seorang anak yang menangis tanpa ibunya. Ya, saya lelaki tapi seorang lelaki tewas dalam percintaannya.

Duduk mati, berdiri mati, serba mati.

Saya sudah tidak berpunya gadis idaman - Saya lelaki yang gagal tetapi kuat semangatnya. Cinta itu subjektif, manusia itu objektif. Ada ketika awak si perempuan tidak kisah bagaimana saya si lelaki, dari aspek rupanya, fizikalnya dan sebagainya. Ada ketika awak si perempuan peduli bagaimana saya si lelaki ini. Cinta sebenar datangnya dari naluri dan pendapat hati individu itu sendiri. Namun apa yang dikesalkan, pilihan yang dilakukan oleh awak si perempuan membuatkan saya si lelaki ini menahan rasa dan kecewa serta menimbulkan tanda tanya.. Apa yang kurangnya saya? Seperti yang saya katakan, walaupun saya si lelaki dijadikan khalifah di muka bumi Tuhan ini namun yang sebenarnya berkuasa di muka bumi ini adalah kaum - kaum awak si perempuan. Awak yang mengawal dan memilih dengan siapa yang harus awak si perempuan patut bersama. Sebuah kerajaan unggul boleh jatuh kerana seorang perempuan, ini pula seorang lelaki tanpa seorang perempuan idamannya? Fikirkan. Saya si lelaki sudah memilih awak si perempuan sebagai perempuan idaman, saya sedar yang saya tidak boleh memilih kerana saya tidak ada hak sebagaimana awak memiliki hak mutlak namun saya cuba melawan hukum alam dan akhirnya saya tersilap langkah. Telahan saya jauh tersasar. Berkali - kali saya idamkan 'hawa' untuk dijadikan idaman qalbu tapi berkali - kali saya dipanah tepat ke jantung. Sakitnya bukan kepalang, airmata mencurah - curah. Saya si lelaki tidak pernah salahkan awak si perempuan dan kaum - kaum awak, tapi saya kesal kerana kuasa memilih bagi seorang lelaki itu berpindah milik pada seorang perempuan dan akhirnya pemilihan itu sentiasa ada kesangsian dimana penceraian, perpisahan akan berlaku. Saya tidak menyalahkan kuasa memilih itu berpindah milik, mungkin perkara sama akan berlaku sekiranya saya dan kaum - kaum saya memiliki kuasa tersebut. Namun yang sebenar - benarnya setiap kejadian itu milik Tuhan dan bukan kita si manusia. Saya sudah tidak berpunya gadis idaman lagi, kerana saya mahu hidup seorang diri takut disakiti dan dikecewakan moleklah berundur diri. Saya lelaki yang lurus dan akan ikut kata hati.

Duduk mati, berdiri mati, serba mati.

Apa yang diluahkan di atas cuma sebahagian daripada apa yang dirasa dan dikongsi pada kalian. Mungkin saya bukanlah yang ahli untuk mensahihkan kebenaran tentang apa yang telah dipenakan dalam diari maya ini, tapi ini adalah dari sudut pandangan seseorang (saya) yang sudah merasai apa yang telah dirasai. Mungkin jawapan untuk kehilangan di laman sosial itu adalah, "saya sedang berfikir untuk tindakan lanjut".



Ini adalah gambar terbaru, berjanggut dan bermisai semuanya asli. Berat 7kg sudah diturunkan, rahsianya senaman dan tidak selera makan rasanya.
 

'Jiwa' kini diserah untuk  Panglima Tempurung Gemeratukan. Selepas itu saya fikirkan untuk diserahkan pada siapa. 


Ahli keluarga saya tidak pernah datang untuk menonton saya bermain teater, mereka cuma memberi sokongan 100% dari rumah. Ia memadai sebenarnya tapi ada juga rasa teringin melihat keluarga untuk datang menonton. Sebak bila melihat orang lain berpeluang menjemput keluarga mereka.. Tapi tidak mengapa. Kekasih tidak akan pernah datang, kerana 5 tahun keseorangan. Jika kalian kawan saya jemputlah datang, datang sebagai keluarga saya. Saksikan trailer itu dulu. Bertempat di Panggung Eksperimental Aswara, bermula pada 31 Mei, 1 & 2 Jun pada jam 8.00 malam. Dapatkan tiket di kaunter.

Sekian luluhan hati dan perkembangan diri.
Wassalam.



Tuesday, May 8, 2012

Mayniversary

Assalamualaikum,

Dear May, be good, be kind, be something.
Because i just don't want to miss a thing.
Everything about you.

Yours Sincerely.


Sunday, May 6, 2012

Patutlah.. Pukul 3.45 Pagi

Assalamualaikum,

Badan kepanasan, lalu saya mandi dan pada ketika itu hari sudah menjengah dinihari. Saya ini memang selalu mandi malam (paru - paru berair lah alamatnya) tapi itu yang sentiasa menyegarkan sebelum tidur. Tapi perkataan selalu terjadi bila badan panas sahaja, ok? Aha.

Ok, esok kelas lambat jadi saya memilih untuk mengisi masa dengan membuat vlog. Ehem, bukan untuk tontonan umum sebenarnya tapi sekadar mengisi masa. Bateri kamera DSLR saya dah penuh, memori pun banyak kosong dan saya bersedia untuk menjahanamkannya sekarang. Saya memilih untuk membuat rakaman di rumah seorang jiran, dia lelaki dan bujang. Saya membuat rakaman di dalam bilik tidurnya dan dia diluar sedang menonton perlawanan bolasepak 'live' pasukan Real Madrid. Ok bermulalah, Bismillah..

Rakaman pertama ok, tepat 20 minit kamera padam sendiri. Rakaman kedua ok juga, tepat 20 minit kamera padam sendiri. Rakaman ketiga, tak ok! Baru 4 minit, kamera padam sendiri. Tengok memori banyak, bateri ada lagi.. Hmm panas? Tak mungkin. Cuba untuk kali keempat, tepat 1.35 minit kamera padam sendiri. Saya cuba memeriksa keadaan kamera seperti tadi, masih ok tapi kenapa? Untuk terakhir kali, kali kelima tepat 1.15 minit kamera padam dan kali ini saya memilih untuk melihat visual. Saya 'play' video berkenaan, tapi tidak ada apa - apa yang berlaku cuma agak hairan.. Kedudukan kamera yang statik, macam mana boleh kamera bergegar - gegar? Ini yang berlegar - legar dikepala saya, sebaik rakaman itu tamat tiba - tiba bulu roma tangan kanan saya menegak.. Alamak!

Ok, saya mula mengemas dan cuba keluar daripada bilik berkenaan. Selak pintu dah dibuka dan sekarang kenapa pintu tak terbuka? Nak main - main sungguh! Bila saya terpana pada jam saya, saya dah mendapat jawapan. "Oh patutlah, dah pukul 3.45 pagi.. Ada 'orang' nak main - main lah tu!", nasib baiklah saya ini kuat semangat. Bila dah dapat jawapan terus pintu boleh buka dan kemudian saya bercerita pada teman saya tadi, dia hanya mentertawakan sahaja. Kejam ohhh. Rupanya dia cakap rumah dia memang ada 'orang tua' yang suka main - main. Haha, damn yuhhhh! Tapi macam mana dia begitu berani, ini jawapannya kerana dia dah tinggal di rumah tu sudah hampir 7 tahun. Hmm no wonderlah.


Seronok sungguh pengalaman malam tu, tapi ini kali kedua saya kena kacau. Nanti saya cerita kali pertama saya kena kacau. Seronok kan? Hahaha.

Nasib saya sedikit berani, nasib!


Wednesday, May 2, 2012

Pujaanku

Assalamualaikum,

Kamu bungaku,
Kamu jiwaku,
Kamu arahku,
Kamu ketetapanku,
Kamu bebayangku,
Kamu warnaku,
Kamu pujaanku,
Kamu mamaku,
Kamu papaku,
Kamu duniaku,
Kamu syurgaku,
Nanti.

Kau kawanku,
Kau sahabatku,
Kau airmataku,
Kau cintaku,
Kau kekasihku,
Kau rusuk kiriku,
Kau anugerahku,
Kau isteriku,
Nanti.

Aku menerobos malam gelap,
Aku menerjang kabus malap,
Aku menterjemah sesebuah sikap,
Aku mendefinisikan rasa yang perlu didakap,
Aku mencari sebuah hidup yang lengkap,
Nanti.

Sebelum ia sampai, biarlah semuanya di angan - angankan. Jangan bimbang, pujaanku.
Ya, pujaanku.