Nuffnang Ads

Tuesday, May 7, 2013

Ku Terluka, Terluka Di Perjalanan Tuhan

Assalamualaikum,

"Ku terluka, tapi aku terluka di perjalanan Tuhan.. Aku teruskan sampai saatnya aku temui bahagia dengan izin-Nya"..

Lama rasanya tidak kedengaran keletak keletuk papan kekunci ini berbunyi deras seperti hujan yang jatuh pada bumbung rumah. Sayu, begitulah rasa hati ini bertambah pilu mengenangkan kejerihan perjalanan yang sudah hampir 25 tahun ini. Sy hanya mampu untuk mengingati tapi tidak mampu untuk mengulangi apa yang sudah pun terjadi. Tajuk ini diambil daripada hasil penulisan sy sewaktu mula - mula berkecimpung dalam dunia blog, ketika itu sy menggunakan wordpress. Sungguhpun tajuknya lebih kurang, tapi pengisian kali ini lebih.. lebih telus tentang apa yang sudah berlaku selama hampir 25 tahun dewasa ini. Semoga ia akan membuatkan sy lebih tenang. Amin.

Sayapku patah.

Sebelum mampu untuk menulis, ketabahan sudahpun sedia untuk diuji. Bergenang airmata ini, untuk mencuba mempertahankan keegoan.. lebih lagi, sy seorang lelaki namun hakikat sudah tersedia tewas. Bukan bererti sy lemah, cuma kekuatan diri itu senantiasa diuji. Sayapku patah. Sayapku patah bukan bererti diri sy sudah tempang, sebaliknya sayap yang patah itu sudah tidak mungkin kembali kerana dia sudah kembali kepada pencipta-Nya. Sayap itu adalah mama dan mama itu adalah sayapku yang patah. Betapa pilu, sejak kehilangannya.. Tidak hanya diam, sudah hampir 2 tahun pemergiannya dan betapa pantasnya masa merentasi lautan. Seperti semalam baru sahaja berlabuh di pantai dan hari sudah separuh perjalanannya ke lautan jauh. Papa sudah 7 tahun meninggalkan sy untuk belajar berdikari sendiri serta menjadi anak lelaki. Bagaimanalah lelaki yang naif ini mampu untuk menelusuri pantai sedangkan rakit pun tidak pandai untuk dibina apatah lagi sebuah perahu? Malangnya harus membesar dengan kematangan yang datang tahun demi tahun itu dan bukan kematangan yang datang daripada hasil tunjuk ajar. Benar, kini sy sudah meningkat suku usia daripada separuh abad dan sudah mampu untuk membezakan apa yang baik dan buruk. Sungguhpun adakalanya pergaulan itu membatasi kematangan namun itu bukan alasan untuk lari daripada realiti sebenar. Alhamdulillah kini tanpa papa dan mama, sy tampak berdikari walaupun adakalanya bergenang melihat ibubapa yang hadir memberikan sokongan buat kawan - kawan sy yang lain. Ingin juga merasa tapi apalah daya.. Tidak mengapa.

Terhina

Soal cinta itu lumrah bagi setiap manusia, baik lelaki mahupun wanita dan soal cinta ini sudah sebati dalam naluri manusia - manusia yang ingin merasa disayangi.. begitu jua sy. Sungguhpun begitu, apa yang kita harapkan berlaku dalam kehidupan kita ini bukan seperti meniup lilin.. apabila ditiup lalu padam. Bererti ia tidaklah semudah yang kita harapkan ianya berlaku seperti yang kita kehendakinya untuk berlaku. Jangan sesekali meletakkan harapan begitu tinggi pada sesuatu kepastian yang kelak ia akan memberikan seribu satu kekesalan yang tidak mampu kita terima secara redhanya. Sy percaya naluri seorang lelaki ini kadang - kadang membatasi apa yang mampu dilakukannya dan sy percaya bahawasanya sy adalah lelaki yang boleh membatasi apa sahaja yang terlintas difikiran. Sy seorang lelaki yang kuat berimaginasi dan berangan, bolehlah disamakan dengan angan Si Jenin justeru sy bercita - cita untuk memiliki cinta seorang yang wanita yang berpendidikan tinggi.. yang mana pendidikannya tidaklah sy setaraf walaupun sy bakal memiliki dua diploma yang berbeza. Itu tidak menjamin apa - apa. Sy akui sy tertarik dengan keperibadiannya, sifatnya dan ketulusannya namun pada raut wajah itu hanyalah sebuah bonus pada insan yang memiliki kelebihan yang Allah kurniakan padanya. Tidak sesekali berpeluang untuk bertentang mata, hanya perhubungan jarak jauh melalui layangan email sahaja mampu untuk diluahkan dan sesekali kemunculan video di youtube sebagai hadiah pada dirinya. Sy tidak mohon apa pun, penghargaan, ucapan terima kasih, atau simpati.. langsung tidak terfikir begitu! Sy berbuat demikian hanyalah kerana keikhlasan diri sy pada seseorang yang sy cinta, itu saja. Sungguhpun begitu, sy terasa terhina bila diperlakukan seperti lelaki yang tidak pernah wujud walaupun sejenak dalam ruangan fikirannya. Ya, sy sedar bahawasanya sy hanyalah lelaki yang masih tercari - cari kejayaan dan terkapai - kapai untuk stabil. Tidak mengapalah, kelak masa akan memberitahu sy tentang kejayaan yang sy perolehi dan tentang kestabilan yang sy kecapi. InshaAllah. Dia adalah wanita pertama yang sy 'kenalkan' pada mama walaupun hanya melalui sekeping foto.. sy kecewa perjalanan tidak berakhir dengan cara yang sepatutnya.

Pemimpin

Pesan Nabi Muhammad SAW, "Jika keluar bertiga dalam bermusafir, pilihlah salah seorang daripada kamu untuk menjadi ketua dan tidak halal bagi mereka yang keluar bertiga tanpa melantik seorang ketua".. Maka disini sudah diperjelaskan kepentingan memilih ketua dan kepentingan menjadi seorang pemimpin. Maka disini, jika ada dikalangan mereka yang merasakan seseorang pemimpin itu tidak adil dan saksama. Jadi mereka berhak untuk memilih pemimpin yang lebih baik. Bagaimanapun, sekiranya keadaan untuk memilih itu tidak disambut dengan baik.. Janganlah sesekali bersedih. Hal ini kerana Allah itu Maha Adil dan ada hikmah mengapa permintaan kita itu tidak tertunai. Ingatlah bahawa seorang pemimpin itu menangggung dua kali ganda dosa, dosa bagi dirinya kerana tidak adil dan dosa bagi tidak bertindak adil kepada orang yang memilihna sebagai ketua. Kelak di Akhirat, pemimpin itu akan disoal apa yang dilakukannya di atas muka bumi Allah ini. Jadi sebagai golongan yang memilih ini, hiduplah sebagai hamba Allah dan rakyat yang baik. Pemimpin yang sy pilih adalah bapa sy sendiri. Tanpa dia sy tidak disini, tanpa dia sy bukan lelaki seperti sekarang dan tanpa dia sy bukanlah lelaki yang baik. Dialah contoh pemimpin, ketua keluarga dan ketua yang sy pilih walaupun kini sy harus menggalas tugasnya. Berat, namun inilah tugas yang harus sy pikul. Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat adalah contoh seorang pemimpin yang mempunyai perkerti yang sangat - sangat mulia, dialah contoh sebaik - baik manusia di zaman sekarang yang masih hidup. Ingin sekali sy memeluknya sebelum tidak berkesempatan kelak, sy mohon pada Allah semoga diizinkan-Nya. Amin.

Di perjalanan ini, sy bermohon agar sy mendapat jawapan dan kematangan kelak. Biarlah masa yang menentukan kejayaan dan kestabilan yang sy perolehi kelak itu akan sy fahami tatkala sedang menelusuri roda - roda yang senantiasa berputar ini. Akan sy imbas semuanya. Semoga roda yang memikul diri sy ini usai tinggal dibawah lagi. Kata - kata yang menjatuhkan tidak lagi dicerna tapi dicendah tanpa usul periksa lagi. Pada sy hidup ini banyak lagi perhentiannya, sy tidak harus kencang berlari kerana mana sy akan tetap berhenti dimana - mana perhentian dan bagaimana sy berpijar itu saja harus sy peduli disebalik kelukaan ini. Bismillahirrahmanirrahim.

Di tanam sy dalam, Di tolak sy jauh, Di gantung sy tinggi.















No comments:

Post a Comment